Friday, December 19, 2008

Lanun

Ini bukan pengambilalihan sebuah syarikat perniagaan, sebaliknya merupakan perkongsian. Kami hanya mahukan 51 peratus
–Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby

Kalau kita perhatikan projek-projek lain yang telah diswastakan, bayarannya terus meningkat
–Datuk Dr. Chua Soi Lek Timbalan Presiden MCA

Memang ia bukan pengambilalihan namun 51% bukan juga jumlah yang boleh dipandang enteng. Ia mewakili kepentingan majoriti dan kebiasaan suara majoriti akan memberikan kata putus dan minoriti terpaksa akur. Lihat Parlimen, rang undang - undang yang menjadi kontroversi seperti RUU SPRAM misalnya dengan mudah menjadi Akta Parlimen dengan suara majoriti walaupun ramai mempertikaikan RUU tersebut ketika perbahasan berlangsung.

Sime Darby, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) asasnya sebuah entiti perniagaan dan wajar dingat bahawa perniagaan bermotifkan keuntungan dan bukannya kebajikan dan kesejahteraan rakyat umumnya. Perakuan bahawa pengambilalihan tersebut akan melindungi hak dan kepentingan masyarakat datang daripada pemimpin negara seperti Abdullah Ahmad Badawi dan bukannya peneraju Sime Darby. Janji itu datang cuma dari sebelah pihak dan ini pasti tidak membawa apa - apa faedah atau kesan positif. Janji manusia boleh dimungkiri. Tun Dr. Mahathir sehingga kini masih jauh hati dengan penggantinya yang didakwa memungkiri persetujuan dan janji untuk meneruskan beberapa projek dan dasar seperti pembinaan Jambatan Bengkok antara Johor dan Singapura.

Perlakuan dan tingkahlaku Abdullah Ahmad Badawi kini semakin meragukan dan kenyataannya dalam hal ini seolah - olah melepaskan batuk di tangga dan nyata membiarkan rakyat terus sengsara dan menderita. Beliau sewajarnya dalam tempoh peralihan ini sedaya upaya memulihkan imejnya yang tercalar dengan cuba lebih memahami dan melindungi kepentingan rakyat dan bukannya membiarkan bakal penggantinya membuat segala keputusan yang kelihatan tidak memberi faedah langsung kepada rakyat.

Sebagai pengganti Abdullah, Najib sewajarnya 'bersabar' sehingga Mac untuk menonjolkan diri. Beliau sewajarnya lebih menumpukan kepada tugasnya memantapkan kerajaan dan bukannya membuat keputusan melulu atas kapasiti sebagai Menteri Kewangan. Alasan bahawa pengambilalihan tersebut memberi peluang kepada doktor yang berkhidmat di IJN untuk menikmati gaji dan ganjaran lebih tinggi tidak dapat diterima. Persoalan timbul tentang ketelusan rundingan tersebut setelah skandal Scorpene dan yang terbaru Eurocopter yang melibatkan Najib. Adakah rundingan tersebut telus dan tidak mempunyai sebarang muslihat? Rakyat akan memandang sinis rundingan dan apa jua keputusan apatah lagi sekiranya kerajaan bersetuju dengan cadangan tersebut.

Dengan keupayaan Sime Darby sebagai konglomerat mega, sewajarnya pengambilalihan atau perkongsian seperti yang didakwa tidak timbul sama sekali. Mereka boleh membina fasiliti yang serupa di mana jua dan bukannya bertindak mengambilalihan suatu kemudahan kesihatan yang begitu penting kepada rakyat. Kajian menunjukkan bahawa masalah jantung merupakan masalah kesihatan utama penduduk negara ini dan umum mengetahui kos perubatan jantung bukan seperti membeli tiket bas atau wayang walaupun di hospital atau institusi milik penuh kerajaan. Yang pasti, suatu hari nanti IJN akan lengang namun ramai pesakit yang bergelimpangan di luar pintu IJN!

Dasar penswastan yang para pemimpin agungkan selama ini nyata gagal melindungi kepentingan rakyat umum. Sebaliknya mereka terpaksa membayar dengan harga yang mahal untuk mendapatkan perkhidmatan yang kualitinya masih diragui. Apa yang berlaku kepada rakyat Malaysia di Sabah misalnya setelah SESB mengambilalih perkhidmatam bekalan elektrik? Mereka masih bersungut tentang kualiti perkhidmatan yang kini terpaksa pula dibayar dengan harga yang lebih mahal. Para pelanggan Telekom Malaysia terpaksa menanggung kos kerana perkhidmatan talian tetap dimonopoli oleh Telekom yang juga telah diswastakan. Negara - negara maju tidak melihat penswastaan sebagai saluran unggul untuk meningkatkan kualiti sesuatu barangan mahupun perkhidmatan namun di negara ini berlaku sebaliknya. Inilah sikap pemimpin yang mementingkan diri dan tidak bertanggugjawab.

Hampir setiap hari kita disajikan dengan berita rompakan dan yang terkini kegiatan lanun di perairan Somalia. Kita sesungguhnya bernasib baik kerana kegiatan lanun dan menjarah keringat rakyat berlaku dengan jelas di negara ini bahana kelemahan pemimpin yang gilakan kuasa dan kemasyhuran. Mereka sering lupa akan tugas dan tanggugjawab sebenar - Melindungi kepentingan rakyat.

Perbuatan menipu dan merompak rakyat oleh kerajaan yang dipilih lebih keji daripada rompakan oleh orang yang asing dan tidak dikenali

2 comments:

Anonymous said...

Trust No One Except Hamidi! Yeah!

Watan Marhaen said...

hahaha, finally Badawi and his numskulls empty headed ministers put the proposal on hold...hahaha takut kalah di KT