Saturday, July 25, 2009

Cuci Tangan Bersih - Bersih

Semua orang sibuk dan gusar tentang Selsema Babi, sana sini orang sibuk memperkatakan tentang wabak yang sungguh aneh lagi menakutkan. Televisyen, akhbar, radio dan pelbagai media begitu tekun melaporkan sebarang kes baru atau petunjuk baru berkenaan wabak itu.

Sayang seribu kali sayang dan menghairankan bila golongan cerdik pandai agama hanya berdiam diri tanpa mengeluarkan walau sepotong bicara berupa nasihat dan peringatan kepada umum tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku, lebih tepat yang tersirat di sebalik penularan wabak. Hanya yang kedengaran langkah berjaga - jaga dari segi fizikal, dari luaran atau kulit semata. Penularan wabak itu sewajarnya disusuli oleh peringatan dan nasihat yang lebih meluas akan tanda - tanda kemurkaan Yang Esa akan kemungkaran dan kebinasaan yang giat dilakukan.

Manusia sering lupa sejarah sedang sejarah merupakan diari terbaik dalam mengingati tingkah laku songsang generasi terdahulu. Umat Nuh, Hud, Luth dan ramai lagi umat dan bangsa lampau musnah akibat wabak dan musibah yang melanda. Apakah cukup sekadar menutup mulut dan membasuh tangan bagi mengelak jangkitan? Sudah pasti ia jauh daripada mencukupi malah ia hanya luaran dan tidak ke dalam - hati dan jiwa manusia yang sememangnya telah kronik. Kita terlalu melihat ke luar, pada dunia namun kita lupa bahawa virus yang menyebarluas H1N1 sebenarnya juga makhluk Allah SWT yang hanya menurut perintah dan suruhan-Nya, tidak lebih dari itu. Suatu hakikat yang jelas dan nyata namun sering dipandang enteng dan diperlekehkan memandangkan manusia beranggapan bahawa mereka memiliki segalanya - virus perlu ditumpaskan dengan vaksin. Mana mungkin virus boleh tewas dengan doa dan munajat?

Surau dan masjid sepi tanpa jemaah yang sewajarnya bermunajat dan memohon agar umat dilindungi dan dijauhi daripada bala dan musibah. Khutbah Jumaat tidak pula diutilasi sepenuhnya untuk mengingatkan manusia agar kembali pada-Nya. Menjaga dan melindungi kesihatan fizikal tidak dinafikan amat perlu namun kesihatan rohani perlu juga dititikberatkan. Mungkin ramai yang lupa namun inilah sebenarnya tugas dan peranan cerdik pandai agama untuk mengingatkan umat agar kembali kepada fitrah kejadian - beribadah dan beriman kepada Yang Esa.

"Sesungguhnya manusia amat pelupa"

No comments: