Monday, August 31, 2009

Runtuhkan Retorik dan Kemunafikan!

Runtuhkan tembok perkauman!

Demikian saranan Perdana Menteri 1Malaysia menjelang Kemerdekaan negara yang ke "46" tahun hari ini, 31 Ogos 2009. Mudahnya seorang yang bergelar pemimpin nombor satu mengungkapkan saranan yang nyata hanya retorik, tidak bernilai, kosong.

Selama ini konsep 1Malaysia yang diwarwarkan sebenarnya hanya omongan kosong berwajah baru umpama seseorang yang menjalani pembedahan 'botox'. Rupanya berubah namun insan dan tabiatnya tetap seperti dulu. Apakah dengan hanya 'memakaikan' kanak - kanak berbangsa India dengan Baju Melayu dan sebaliknya, maka perpaduan serta merta wujud? Hanya dengan mengibar Jalur Gemilang ,kita semua bersatu?

Jika benar ingin bersatu dalam erti kata sebenarnya mengapa Bumiputera di Sabah dan Sarawak yang merupakan rakan kongsi dan bukan penumpang Malaysia masih dianaktirikan? Lihat sahaja borang - borang permohonan, langsung tidak disebut kaum - kaum di Sabah waima di Sarawak secara khusus atau sekurang - kurangnya ruang untuk Bumiputera Sabah atau Sarawak diwujudkan, bukannya susah sangat. Perasaan rakyat Malaysia di Malaysia Timur telah lama terguris namun siapa yang peduli? Sedangkan warga Malaysia yang turun temurun dilahir, dibesar dan akhirnya menghembus nafas terakhir di bumi Malaysia amat terasa dipinggirkan apatah lagi bangsa lain yang dianggap baru di negara ini namun sama - sama membentuk gagasan Malaysia.

Warga beragama Islam di Malaysia Timur turut berasa terpinggir dan dipaksa membuang ras mereka bahana peruntukan Perlembagaan yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam sendiri yang jelas mengakui kewujudan dan hak mereka yang bukan berbangsa Arab. Dalam Perlembagaan Persekutuan, umat Islam secara paksa digolongkan sebagai 'Melayu' sedangkan mereka mungkin sahaja berbangsa Cina, India, Dusun, Kadazan, Iban, Murut dan sebagainya.

Apakah hanya kerana beragama Islam, mereka dikatakan Melayu? Adat resam dan budaya Melayu sebenarnya berlainan dengan Islam walaupun banyak persamaan namun tidak semua Melayu itu Islam, lihat kaum Orang Asli mereka Melayu, Melayu Proto atau Melayu Lama tetapi ramai yang masih mengamalkan animisme waima anutan lain seperti Kristian. Bangsa dan agama tidak wajar disatukan atau membawa erti dan definisi yang sama kerana kini kita melihat di kalangan kita ada yang berbangsa Melayu tetapi merupakan pengunjung tetap kedai - kedai judi dan peminum arak tegar lebih Barat kehidupannya berbanding mereka yang tinggal dan berasal dari Barat. Siapa dia Lina Joy, Nor Aishah Bokhari, Joshua Jamaluddin dan ramai lagi? Mereka berbangsa Melayu tetapi bukan penganut Islam!

Seorang menteri kabinet yang begitu taksub dengan bangsanya tetapi sayang isterinya 'dibintikan' dengan nama suaminya dan anaknya sendiri diberi nama yang asing dengan budaya Melayu! Ramai pemimpin Melayu bergelumang dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah, akibatnya Islam terpalit sama. Inilah akibatnya jika bangsa dan agama diberi konotasi yang sama dan tidak terpisah.

Tulisan ini tidak sama sekali berniat mengapi - apikan kebencian dan perkauman malah ia suatu hakikat yang pahit namun terpaksa diterima sekiranya tembok pemisah yang dikatakan Najib itu ingin dirobohkan. Bak kata orang, kalau putih katalah putih dan bukan dengan panggilan lain!

"SALAM KEMERDEKAAN"

No comments: