Sanggup bersubahat gara - gara politik hingga lupa hukum!
Sedih dan gundah gulana bila nampak kain pemidang di atas. Sebuah parti yang majoriti ahlinya beragama Islam dan juga tunjang parti memerintah menyokong 'halal'nya judi. Ada yang memberi alasan untuk mengelakkan judi haram namun mereka umpama lupa perkara asas atau pokok yakni berjudi itu haram dan ditegah dalam Islam. Allah berfirman dalam surah Al - Maidah ayat 90 yang bermaksud:
"Sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syetan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."
Apakah tidak mencukupi bagi mereka frasa 'adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan' untuk menimbulkan rasa takut dan faham bahawa judi itu sesungguhnya perbuatan yang merosakkan? Pada masa yang sama terdapat golongan yang mengakui judi itu haram namun memberi alasan di kalangan bukan muslim judi itu tidak haram, maknanya 'judi halal' itu terpakai untuk golongan bukan Islam sahaja!Pendapat dangkal yang disokong mantan PM ke-4 ini juga amat bahaya dan menyimpang dari perkara asas iaitu judi hukumnya haram. Tugas pemerintah beragama Islam ialah mendokong dan menegakkan hukum Allah dan bukannya membeza - bezakan antara mereka yang bukan Islam dan Islam. Hukum dan larangan dalam Islam mempunyai hikmahnya yang tersendiri dan ini diakui oleh bukan Islam sendiri malah disokong oleh bukti - bukti saintifik. Mereka yang bukan Islam turut menentang 'penghalalan' judi atas bukti bahawa ia memudaratkan misalnya ia boleh menyebabkan ketagihan sama seperti arak dan ini pasti memudaratkan seseorang terutama mereka yang telah berkeluarga. Mereka lupa tanggugjawab untuk membesar dan menyara anak - anak bahana obsesi pada judi - sanggup bergolok bergadai untuk berjudi.
Pada masa yang sama mereka yang beragama Islam akan turut terjebak dalam judi memandangkan ketika ini pun judi 'halal' seperti 4D, 6D dan sebagainya turut dilanggan oleh mereka yang beragama Islam dan penguatkuasaan untuk menghalang mereka berjudi amat lemah dan ia tidak akan mampu dilakukan 24 jam ,7 hari seminggu dan 365 hari setahun! Kerajaan yang menghalalkan judi nyata bersubahat menggalakan maksiat dan dosa dan sesungguhnya mereka yang arif tentang hukum Islam dalam kerajaan terutamanya kabinet persekutuan yang menghalalkan judi bola sepak pasti akan dituntut dan dipertanggungjawabkan lebih berbanding mereka yang jahil. Di manakah rasa takut dan tanggungjawab mereka?
No comments:
Post a Comment