Monday, May 19, 2008

Salahkah Menyatakan Kebenaran?

Sebentar tadi setelah penat menaip, singgah sebentar di suatu blog. Milik orang muda, masih belajar. Kelihatan penuh dengan idealisme, berasa mungkin bertanggungjawab menjawab tohmahan dan mempertahankan beberapa tindakan kerajaan yang pada pendapatnya telah melakukan yang terbaik untuk membantu rakyat.

Pujian wajar diberi kerana prihatin atas hal ehwal negara dan sewajarnya inilah generasi pelapis yang kita perlukan. Prihatin terhadap masa depan negara tidak seperti yang lain yang hanya tahu berhibur.

Namun banyak hujah - hujahnya yang dangkal. Menurut pemahaman saya beliau mengutarakan suatu cadangan yang autoritarian di mana rakyat khas para pelajar perlu 'bersyukur' dengan bantuan kerajaan. Katanya dapat wang kerajaan tapi membangkang kerajaan. Kerajaan sebenarnya hanya pengurus sumber yang kebanyakannya disumbang melalui bayaran cukai seperti cukai tanah, cukai pintu, cukai pendapatan dan pelbagai lagi. Sewajarnyalah kita menegur atau mengkritik mereka yang gagal melaksanakan amanah yang diberi.

Bayaran tol misalnya konon disubsidikan kerajaan tetapi mereka terutamanya yang memegang kuasa sebenarnya turut menerima subsidi berkenaan. Wang tol mereka dibayar oleh kerajaan konon untuk tujuan rasmi tetapi kalau untuk berkempen, melancong dan sebagainya, adakah ia juga tugas rasmi?

Kakitangan kerajaan diarah untuk bekerja keras sebagai balasan kenaikan gaji yang tidak seberapa sedang beberapa bekas menteri dilantik menjadi penasihat PM dengan elaun dan gaji yang melampau sedang pada masa yang sama mereka turut menerima pencen sebagai bekas menteri. Mereka dibayar antara RM 15 hingga 30 ribu sebulan untuk 'nasihat - nasihat' mereka yang mungkin tidak bernilai. Misalnya apakah nasihat Penasihat Agama untuk selesai dan lindungi agama Islam dari segi kes - kes murtad? Wajar kedudukan sebagai Penasihat menunjukkan kearifan dan kepakaran mereka dalam sesuatu bidang namun apa yang terjadi? Apa peranan Penasihat Petronas dalam isu royalti minyak Sabah, Sarawak dan Terengganu?

Anak muda ini juga menuntut bukti - bukti penyelewangan kerajaan dan yang sedihnya anak muda ini berasal dari sebuah negeri yang diakui sebagai negeri yang termiskin di Malaysia sedangkan ia kaya dengan hasil bumi dan lokasi yang strategik. Bukankah ini sudah menunjukkan kegagalan mereka yang berkuasa? Secara logik jika sesebuah negeri itu kaya maka wajarlah rakyat turut merasai kemewahan tersebut. Sayang sekali yang kaya terus kaya rumah besar, kapal di laut gudang di darat, kereta besar berderet - deret entah siapa yang akan pandu.

Biaya pelajaran juga dikenakan faedah walhal mengaku negara ini negara Islam tetapi kerajaan masih mengenakan faedah walaupun diberi nama lain; yuran perkhidmatan katanya tetapi jumlahnya begitu besar dan belumpun pelajar memperolehi pekerjaan, sudah dituntut dengan pelbagai ugutan lagak ah long.

Akhir kalam, penat rasanya menulis 'kegagalan' kerajaan dan anak muda tadi dengan beraninya menyarankan agar para 'pembangkang' ini disekat wang biasiswa, elaun dan sebagainya. Sewajarnya kerajaan yang gagal yang wajib ditamatkan perkhidmatannya.

No comments: