Sunday, January 10, 2010

Senjata Makan Tuan



Kini seperti cacing kepanasan bahana silap percaturan

Hasrat sebuah parti dominan dalam gabungan parti memerintah untuk menarik kembali sokongan dengan menimbulkan situasi tidak selesa mungkin memakan diri akibat tindakan agen - agen provokatif yang sehingga kini telah menyebabkan 4 buah rumah ibadat bukan Islam menjadi mangsa. Walaupun sehingga kini, dalang di sebalik kejadian belum dikenalpasti namun perbuatan mereka 'bermain api' kini menyebabkan mereka sendiri terbakar.

Kenyataan pemimpin - pemimpin mereka yang seolah - olah memberi lampu hijau untuk umat Islam (baca para penyokong) untuk berdemonstrasi turut menyumbang kepada kemelut terkini. Sewajarnya mereka sebagai pemimpin bertanggungjawab wajar mengawal emosi para penyokong mereka yang berkobar - kobar bahana keputusan mahkamah untuk membenar akhabar mingguan Katolik menggunakankan kalimah Allah.

Kini mereka tersepit di kala pihak pembangkang enggan bersekongkol dengan mereka walaupun mereka cuba memainkan isu yang sensitif. Sewajarnya mereka perlu beringat bahawa keputusan mahkamah itu terhad pada penggunan kalimah tersebut dalam akhbar mingguan sahaja tetapi tidak terpakai untuk tujuan lain walaupun dalam lingkungan rumah ibadat mereka.

Mereka berlagak seolah - olah merekalah pejuang agama yang sebenar namun persoalan dan isu lain yang menuntut ketegasan kerajaan misalnya dalam isu murtad, jenayah, muamalat, hadanah dan sebagainya tidak begitu dipedulikan walhal ia lebih mendatangkan implikasi lebih besar terhadap Islam. Isu murtad walaupun telah dibangkit dan diutarakan termasuk di kalangan penyokong mereka sehingga kini masih menjadi duri dalam daging. Pelaksanaan hudud turut dipandang sepi dan enteng walaupun ia melibatkan umat Islam secara langsung, malah diperlekehkan dengan kenyataan seperti negara akan porak peranda sekiranya undang - undang Islam dilaksanakan.

Rakyat kini tidak lagi seperti dulu yang mudah digula - gulakan oleh parti dominan itu dan akibatnya senjata kini telah makan tuan!

"Kepada Allah kita bertawakkal"

No comments: