Saturday, June 20, 2009

Musang! Musang! LARI!!!

Sekarang heboh diperkatakan tentang 'Kerajaan Perpaduan' hinggakan ia menimbulkan banyak polemik pro dan kontra di kalangan pihak yang mengusulkan dan pihak - [ihak lain yang berkepentingan.

Masing - masing mengutarakan hujah masing - masing untuk menyokong mahupun menolak idea tersebut. Bagi yang menyokong dengan mudah mengatakan berdasarkan namanya maka ia harus diterima tanpa banyak soal demi kepentingan bangsa, bangsa yang kononnya masih mundur di bumi sendiri. Bangsa yang kononnya masih ketinggalan dari pelbagai aspek walhal sejak kemerdekaan pemerintahan negara didominasi oleh bangsa yang 'mundur' tersebut. Sekali lagi khalayak dimomokkan dengan kekhuatiran mereka bahawa kaum dan bangsa lain sedang tertawa dan menari suka menyaksikan bangsa yang kononnya mundur tadi bertelagah sesama sendiri. Demikianlah permainan politik dan lidah bercabang pihak yang menyokong gagasan berkenaan. Malah salah seorang pemuka golongan yang dipelawa untuk merealisasikan Kerajaan Perpaduan dengan penuh yakin menyatakan bahawa tiada sebarang mustahil terselindung, niat mereka ikhlas.

Pepatah Inggeris "Once bitten twice shy" sewajarnya dihayati oleh para pengusul gagasan ini. Sejarah tidak pernah berbohong dan apa yang berlaku 30 tahun lampau menjadi saksi dan bukti bahawa pihak yang dipelawa oleh pihak yang mengusulkan merupakan pemuka - pemuka yang licik dan pintar berpolitik. Mereka yang telah berkuasa sejak kemerdekaan dicapai lebih lima dekad lampau telah mahir dan cekap bermain sandiwara dan mereka telah imun dengan kuasa dan kekuasaan.

Kini, parti asal pihak yang melontarkan idea perpaduan kian mendapat tempat di kalangan rakyat termasuk mereka yang dahulunya 'takut' dengan ideologi 'keras' mereka. Kini, sedikit demi sedikit atas kurnia dan kekuasaanNya, perjuangan mereka untuk menegakkan Islam kian diterima dan difahami oleh mereka yang sebelum ini memandang serong pada Islam sebagai dogma yang sempit. Pada masa yang sama, pihak yang dijemput pula kian hari kian lemah dengan pelbagai kebejatan mereka terdedah pada umum. Tentunya pelawaan sedemikian amat ditunggu - tunggu bagi pihak yang oportunis seperti mereka,

Peluang ini merupakan sesuatu yang tidak mungkin dilepaskan untuk mengukuhkan semula kedudukan mereka yang kian goyah. Kejujuran dan prinsip bukanlah watak mereka yang memang terkenal licik dan penuh tipu helah. Mereka sanggup berbuat apa sahaja asalkan mereka kekal berkuasa. Selama ini mereka cuma menyatakan persetujuan untuk 'berdamai' tanpa cuba untuk membuktikan mereka benar - benar ikhlas untuk menjayakan inisiatif berkenaan. Malah, beberapa pemuka mereka kini bertindak sebagai 'pelindung' kepada pihak yang beria - ia mengusulkan inisiatif Kerajaan Perpaduan bezanya mereka tidak pula 'menghamparkan' permaidani merah kepada pelontar idea berkenaan mungkin disebabkan mereka sendiri kurang yakin inisiatif tersebut akan berjaya.

"Hati - hati dengan musuh terutama musuh dalam selimut, musang berbulu ayam"

No comments: